Memahami ADHD Dewasa Dan Mengatur Kehidupan Bertemankannya.

adhddewasa.substack.com

Audio Siar (Podcast) ADHD Dewasa Bersama Hasrizal
Claim This Podcastby Hasrizal
Podcast Overview
Memahami ADHD Dewasa Dan Mengatur Kehidupan Bertemankannya.

adhddewasa.substack.com
Language

Publishing Since
5/28/2025
1 verified contact email on file for Audio Siar (Podcast) ADHD Dewasa Bersama Hasrizal
Pitch yourself as a guest, propose sponsorships, or reach out directly to the host.
Recent Episodes

June 30, 2026
Membaca Tanpa Ambil Stimulant ADHD

Pagi ini jam sudah menghampiri 9.30, tetapi saya masih belum mengambil stimulan. Lazimnya, saya mengambilnya sekitar jam 8.00 pagi. Sengaja pagi ini saya cuba membaca dan melakukan kerja-kerja akademik tanpa stimulan, untuk meneliti semula perbezaan pengalaman membaca tanpa stimulan berbanding dengan membaca menggunakan stimulan, sebelum dan selepas diagnosis ADHD.

Saya masih boleh membaca, tetapi terasa satu bentuk sluggishness yang sangat meletihkan. Inilah antara cabaran utama yang dihadapi oleh individu ADHD. Gangguan membaca bagi ADHD bukan soal boleh membaca atau tidak boleh membaca, seumpama beza antara mata terbuka dan mata tertutup. Realitinya, bacaan itu tetap boleh diteruskan, tetapi dalam keadaan yang lebih rumit, berat, dan memerlukan tenaga mental yang jauh lebih besar untuk kekal fokus.

Cabaran itu menjadi lebih ketara apabila bahan yang dibaca bukan sesuatu yang diminati atau merangsang perhatian, tetapi tetap penting dan perlu diselesaikan. Di sinilah letaknya sifat sebenar impairment ADHD: ia jarang bersifat hitam putih. Kerana itulah ia sukar difahami, sukar dilihat, dan sering tidak dianggap sebagai satu bentuk kekurangan atau kecacatan oleh mereka yang tidak pernah mengalaminya atau tidak memahami bagaimana ADHD berfungsi.

Hasrizal Abdul Jamilwww.hasrizal.com

#adhddewasa #adhddewasamalaysia #adhdmalaysia #hasrizalabduljamil #pendidikanjalanislah

Get full access to ADHD DEWASA at adhddewasa.substack.com/subscribe

June 23, 2026
Jika Boleh Pilih, Saya Memilih Untuk Hidup Tanpa ADHD

ADHD DEWASA is a reader-supported publication. To receive new posts and support my work, consider becoming a free or paid subscriber. Jazākumullāhu khairan.

Ada satu soalan yang nampak mudah, tetapi sebenarnya sangat berat.

“Kalau boleh pilih, adakah saya mahu hidup dengan ADHD, atau tidak?”

Jawapan saya jelas.

Kalau saya benar-benar boleh memilih, saya memilih untuk hidup tanpa ADHD.

Bukan kerana saya malu dengan diri sendiri. Bukan kerana saya menolak sejarah hidup saya. Bukan juga kerana saya tidak nampak kekuatan tertentu yang hadir bersama cara otak saya bekerja. Jauh sekali menolak takdir.

Tetapi kerana saya tahu, dengan sangat dekat dan sangat peribadi, harga yang dibayar untuk hidup dengan ADHD.

Kita berterusan menyaksikan kecenderungan semasa, khususnya di media sosial, untuk meromantikkan ADHD. Ia disebut sebagai superpower. Ia dikaitkan dengan kreativiti, pemikiran divergent, keberanian mencuba, dan keupayaan hyperfocus. Sebahagian daripada itu memang ada benarnya. Ramai individu ADHD mempunyai kekuatan yang nyata. Tetapi masalahnya bermula apabila kita hanya bercakap tentang kekuatan itu, lalu menenggelamkan kos sebenar yang ditanggung oleh tubuh, minda, hubungan, kerja, keluarga, dan masa depan.

ADHD bukan sekadar gaya personaliti. Ia bukan sekadar “mudah bosan”. Ia bukan sekadar “hiperaktif”. Ia ialah gangguan perkembangan neurobiologi yang memberi kesan kepada fungsi eksekutif dan self-regulation. Dalam kerangka Barkley, ADHD lebih tepat difahami sebagai gangguan mengurus diri untuk melakukan perkara yang kita sendiri tahu ia perlu dilakukan (Barkley, 1997, 2012; Barkley et al., 2008).

Itulah bahagian yang paling sukar diterangkan kepada orang luar.

Masalahnya bukan tidak tahu.

Masalahnya ialah tidak dapat mengatur diri secara konsisten untuk bertindak berdasarkan apa yang kita ketahui.

Maka apabila saya berkata, “Kalau boleh memilih, saya memilih untuk tidak memiliki ADHD,” saya tidak sedang membenci diri. Saya sedang bercakap jujur tentang realiti.

Ada enam sebab.

1. SUSAH BELAJAR

Susah belajar dengan ADHD bukan bermaksud kita tidak cerdas. Ramai individu ADHD sangat cerdas. Sebahagian daripada kita cepat menangkap idea, cepat melihat pola, cepat menghubungkan satu konsep dengan konsep lain.

Tetapi belajar bukan hanya tentang memahami.

Belajar juga memerlukan konsistensi.

Ia memerlukan fokus yang berpanjangan. Ia memerlukan working memory. Ia memerlukan keupayaan merancang, menyusun masa, memulakan tugasan, menahan gangguan, menyiapkan kerja, dan menghantar kerja sebelum tarikh akhir.

Di sinilah ADHD menekan hidup.

Kita boleh faham kuliah tetapi gagal menyiapkan tugasan. Kita boleh mempunyai idea yang kuat tetapi tidak sempat menyusunnya menjadi esei. Kita boleh membaca dengan minat yang tinggi pada satu hari, kemudian hilang rentak sepenuhnya pada hari berikutnya.

Brown (2013) menjelaskan ADHD sebagai gangguan pada sistem pengurusan kognitif otak, iaitu executive functions. Ini penting kerana ia mengalihkan kefahaman kita daripada “pelajar ini tidak mahu belajar” kepada “pelajar ini bergelut dengan sistem dalaman yang diperlukan untuk belajar secara konsisten”.

Bagi saya, inilah antara luka paling awal ADHD. Bukan kegagalan akademik itu sahaja yang menyakitkan, tetapi rasa kecewa dan malu yang datang bersamanya.

Kita tahu kita mampu.

Tetapi bukti di atas kertas tidak menunjukkan kemampuan itu.

2. SUSAH BEKERJA

ADHD tidak tamat selepas sekolah atau universiti. Ia ikut masuk ke dunia kerja.

Di tempat kerja, yang dinilai bukan lagi potensi, tetapi output. Bukan lagi idea yang hebat semata-mata, tetapi sama ada idea itu siap, dihantar, disusuli, dilaksanakan dan membuahkan hasil.

Dunia kerja menghargai ketepatan masa, kejelasan prioriti, susunan fail, e-mel yang dijawab, janji yang ditepati, mesyuarat yang diingati, tugasan yang ditutup, dan projek yang tidak dibiarkan tergantung.

Semua ini berada tepat di daerah paling mencabar bagi ramai individu ADHD.

Kajian Barkley et al. (2008) menunjukkan ADHD dewasa berkait dengan impairment dalam pelbagai domain kehidupan utama, termasuk pekerjaan, pendidikan, hubungan sosial, kewangan, pemanduan, dan tanggungjawab harian. Dalam edisi awam yang lebih praktikal, Barkley (2022) juga menekankan bahawa ADHD boleh menjejaskan prestasi kerja, pengurusan masa, melengkapkan pendidikan, kewangan, hubungan, dan kesihatan.

Ini bukan isu malas.

Ini isu self-regulation.

Ada individu ADHD yang sangat berbakat, tetapi bakat itu tidak muncul secara stabil. Ada hari kita seperti mampu melakukan kerja tiga orang. Ada hari kita gagal melakukan satu kerja kecil yang sepatutnya selesai dalam tempoh sepuluh minit.

Masalahnya, dunia kerja jarang menilai kita berdasarkan hari-hari terbaik kita.

Dunia kerja menilai konsistensi.

Dan ADHD menyerang konsistensi itu.

3. SUSAH BERUMAHTANGGA

Ini bahagian yang jarang dibincangkan dengan jujur.

ADHD bukan hanya menjejaskan belajar dan bekerja. Ia masuk ke ruang paling peribadi lagi intim dalam hidup manusia: rumahtangga.

Dalam hubungan suami isteri, masalah ADHD boleh kelihatan seperti tidak peduli, tidak mendengar, tidak bertanggungjawab, atau tidak mengambil berat. Seseorang terlupa janji. Seseorang lambat bertindak. Seseorang tidak memberi reaksi. Seseorang hilang fokus ketika pasangannya sedang bercakap. Seseorang cepat marah, cepat defensif, atau terlalu impulsif dalam berbicara.

Dari luar, semua itu nampak seperti masalah akhlak atau krisis cinta.

Tetapi dari dalam, sebahagiannya ialah masalah regulasi.

Barkley (2022) menekankan bahawa emotion regulation, self-awareness, dan keupayaan membaca isyarat sosial boleh memberi kesan besar kepada hubungan orang dewasa dengan ADHD. Masalah mengawal kemarahan, kekecewaan, dan reaksi emosi boleh mencipta konflik yang berulang. Lama-kelamaan, pasangan bukan hanya letih dengan peristiwa besar. Pasangan letih dengan pengulangan kecil yang tiada kesudahannya, selagi hayat masih ada.

Cinta boleh bertahan dalam banyak keadaan.

Tetapi rasa itu juga boleh menjadi penat.

Apabila ADHD tidak difahami, rumah boleh menjadi tempat dua orang saling salah tafsir. Seorang berasa diabaikan. Seorang lagi berasa gagal, walaupun sedang mencuba.

4. SUSAH BERKELUARGA

Keibubapaan memerlukan struktur.

Anak-anak memerlukan rutin, batas, konsistensi, emosi yang stabil, dan kehadiran yang boleh dijangka. Mereka memerlukan orang dewasa yang bukan sahaja menyayangi mereka, tetapi juga mampu mengurus kehidupan harian dengan cukup stabil untuk menjadi tempat mereka berpaut.

ADHD sering mengganggu struktur itu.

Kita mahu hadir, tetapi terlupa. Kita mahu tenang, tetapi cepat tertekan. Kita mahu konsisten, tetapi sistem dalaman kita sendiri tidak konsisten. Kita mahu menjadi ibu bapa terbaik, tetapi ada hari-hari apabila bunyi, tuntutan, konflik kecil, kerja rumah, jadual sekolah, dan keperluan emosi anak-anak terasa terlalu banyak untuk diproses sekaligus.

Dalam kajian dan penulisan klinikal tentang ADHD dewasa, kesan terhadap hubungan keluarga dan keibubapaan bukan isu kecil. Barkley et al. (2008) memasukkan domain perkahwinan, keluarga, dan fungsi sosial sebagai sebahagian daripada gambaran impairment ADHD dewasa. Dalam penulisan untuk keluarga, Barkley (2017, 2022) juga menekankan bahawa ADHD orang dewasa memberi kesan bukan sahaja kepada individu itu sendiri, tetapi juga kepada orang yang hidup bersamanya.

Bahagian paling berat ialah belenggu rasa bersalah.

Kita tahu kita sayang keluarga. Kita tahu kita mahu menjadi lebih baik. Namun, niat baik tidak selalu menghasilkan tindakan yang konsisten.

Dan itulah salah satu penderitaan senyap ADHD: jurang yang besar antara kasih sayang dan kemampuan regulasi yang terbatas.

5. TERLEWAT DALAM SEGALANYA

Ini mungkin sebab yang paling menyakitkan bagi saya.

ADHD tidak semestinya menghalang seseorang daripada sampai. Tetapi ia sering membuat seseorang sampai lewat.

Lambat stabil. Lambat siap. Lambat percaya diri. Lambat faham apa yang sebenarnya berlaku. Lambat mendapat diagnosis. Lambat membina sistem. Lambat membezakan antara kelemahan moral dan cabaran neurobiologi.

Kita melihat orang lain seperti berjalan di jalan yang lurus, sedangkan kita seperti terpaksa melalui laluan yang berpusing-pusing. Ada yang sudah membina kerjaya ketika kita masih membaiki runtuhan akademik. Ada yang sudah stabil dari segi kewangan ketika kita masih belajar mengurus reaksi dan masa. Ada yang sudah tenang dengan diri sendiri ketika kita masih memproses bertahun-tahun rasa malu.

Barkley et al. (2008) menunjukkan bahawa ADHD dewasa berkait dengan impairment yang luas dalam pendidikan, pekerjaan, kewangan, hubungan, pemanduan, dan tanggungjawab harian. Ini bukan sekadar satu masalah kecil dalam satu sudut hidup. Ia boleh menjadi kelewatan sistemik dalam banyak lintasan perkembangan hidup.

Sebab itu saya sering berfikir:

Kalau tanpa ADHD, pada usia berapa saya boleh sampai ke tempat yang saya capai sekarang?

Berapa banyak kegagalan boleh dielakkan?

Berapa banyak tahun boleh dijimatkan?

Berapa banyak tenaga emosi yang tidak perlu dibakar hanya untuk memulihkan diri daripada perkara yang orang lain anggap remeh?

Saya tidak menyesal atas seluruh perjalanan hidup ini. Ada hikmah, ada ilmu, ada empati, ada suara advokasi yang lahir daripada pengalaman itu.

Tetapi jujur tetap jujur.

Jalan ini sangat mahal harganya.

6. RISIKO KESIHATAN DAN PENDEK UMUR

Ini fakta yang ramai tidak tahu.

ADHD bukan sekadar “quirky”.

ADHD bukan sekadar gaya bekerja pada saat akhir.

ADHD boleh membawa kos kesihatan yang serius.

Barkley dan Fischer (2019) meneliti data longitudinal dan menganggarkan bahawa ADHD jenis gabungan pada zaman kanak-kanak dikaitkan dengan pengurangan estimated life expectancy pada individu dewasa di usia muda. Dalam kajian itu, ADHD pada zaman kanak-kanak dikaitkan dengan pengurangan 9.5 tahun dalam healthy estimated life expectancy dan 8.4 tahun dalam total estimated life expectancy berbanding kumpulan kawalan. Apabila ADHD berterusan hingga dewasa, pengurangan estimated life expectancy dikaitkan dengan angka yang lebih besar, iaitu 12.7 tahun.

Ini bukan angka kecil.

Faraone et al. (2021), melalui World Federation of ADHD International Consensus Statement, turut merumuskan bahawa ADHD berkait dengan pelbagai risiko dan adverse outcomes apabila tidak dikenal pasti dan tidak diurus dengan baik.

Risiko itu boleh datang melalui banyak jalan: kemalangan, pemanduan berisiko, substance misuse, tidur yang tidak teratur, tekanan kronik, masalah kesihatan metabolik, impulsiviti, dan kesukaran mengekalkan rutin penjagaan diri.

Sekali lagi, ini bukan tentang menyalahkan individu ADHD.

Ini tentang memahami bahawa self-regulation bukan perkara kecil. Ia bukan hanya menentukan sama ada kita sempat menghantar e-mel. Ia juga menentukan sama ada kita tidur cukup, makan dengan baik, memandu dengan selamat, mengambil ubat dengan konsisten, mengurus stres, dan mendapatkan rawatan apabila perlu.

Apabila self-regulation terganggu, seluruh tubuh akhirnya membayar harga.

MEMBENCI ADHD DIRI?

Tidak.

Saya tidak membenci diri saya.

Saya tidak menolak diri saya.

Saya juga tidak mahu kembali kepada bahasa lama yang melihat ADHD semata-mata sebagai kecacatan moral, kemalasan, atau kegagalan peribadi.

Tetapi saya menolak romantisasi yang terlalu mudah.

“Aku ada ADHD la!”

“Wah, ada ADHD rupanya!”

Ia banjir naratif media sosial yang menyakitkan. Merimaskan.

Saya menolak naratif yang menyuruh kita meraikan ADHD tanpa memberi ruang untuk kita bersedih terhadap kosnya.

Kita boleh mengakui kekuatan tanpa menafikan kesakitan.

Kita boleh bersyukur atas empati yang lahir daripada luka tanpa berpura-pura bahawa luka itu tidak pernah berdarah.

Kita boleh membina hidup yang bermakna dengan ADHD tanpa perlu mengatakan ADHD itu anugerah.

Apatah lagi di era ramai suka memberi pendapat yang tidak diminta, dan hadir bersama racun di dalam makna.

Toxic unsolicited advice.

Bagi saya, ADHD bukan identiti penuh saya. Ia satu keadaan neurodevelopmental yang saya urus. Ia mempengaruhi cara saya belajar, bekerja, berkeluarga, beremosi, mengingat, merancang, dan bertindak. Tetapi ia bukan seluruh diri saya.

Realitinya, kita tidak boleh memilih neurologi diri.

Tetapi kita boleh memilih cara kita memahami diri.

Kita boleh memilih untuk mendapatkan bantuan.

Kita boleh memilih untuk membina sistem luaran bagi menyokong fungsi dalaman yang lemah.

Kita boleh memilih untuk mengurangkan rasa malu.

Kita boleh memilih untuk berhenti menghukum diri atas sesuatu yang sepatutnya difahami secara klinikal, bukan secara moralistik.

Kita boleh memilih untuk hidup dengan lebih berbelas ihsan terhadap diri sendiri, sambil tetap bertanggungjawab terhadap kesan tindakan kita kepada orang lain.

Maka apabila saya berkata, “kalau saya boleh memilih, saya memilih untuk hidup tanpa ADHD,” itu bukan ayat putus asa.

Itu ayat jujur.

Dan daripada kejujuran itulah bermula pengurusan yang lebih tenteram.

Bukan untuk menjadi “normal”.

Tetapi untuk menjadi lebih berfungsi.

Lebih tenang.

Lebih hadir.

Lebih hidup.

Lebih memberi.

Hasrizal Abdul Jamilwww.hasrizal.com

Rujukan

* Barkley, R. A. (1997). Behavioral inhibition, sustained attention, and executive functions: Constructing a unifying theory of ADHD. Psychological Bulletin, 121(1), 65–94. https://doi.org/10.1037/0033-2909.121.1.65

* Barkley, R. A. (2012). Executive functions: What they are, how they work, and why they evolved. Guilford Press.

* Barkley, R. A. (2017). When an adult you love has ADHD: Professional advice for parents, partners, and siblings. American Psychological Association. https://doi.org/10.1037/15963-000

* Barkley, R. A. (2022). Taking charge of adult ADHD: Proven strategies to succeed at work, at home, and in relationships (2nd ed.). Guilford Press.

* Barkley, R. A., & Fischer, M. (2019). Hyperactive child syndrome and estimated life expectancy at young adult follow-up: The role of ADHD persistence and other potential predictors. Journal of Attention Disorders, 23(9), 907–923. https://doi.org/10.1177/1087054718816164

* Barkley, R. A., Murphy, K. R., & Fischer, M. (2008). ADHD in adults: What the science says. Guilford Press.

* Brown, T. E. (2013). A new understanding of ADHD in children and adults: Executive function impairments (1st ed.). Routledge. https://doi.org/10.4324/9780203067536

* Faraone, S. V., Banaschewski, T., Coghill, D., Zheng, Y., Biederman, J., Bellgrove, M. A., Newcorn, J. H., Gignac, M., Al Saud, N. M., Manor, I., Rohde, L. A., Yang, L., Cortese, S., Almagor, D., Stein, M. A., Albatti, T. H., Aljoudi, H., Alqahtani, M. M. J., Asherson, P., … Wang, Y. (2021). The World Federation of ADHD International Consensus Statement: 208 evidence-based conclusions about the disorder. Neuroscience & Biobehavioral Reviews, 128, 789–818. https://doi.org/10.1016/j.neubiorev.2021.01.022

Get full access to ADHD DEWASA at adhddewasa.substack.com/subscribe

June 8, 2026
Membina Bank Literatur PhD dengan Notion dan Claude AI

Sebelum pengajian PhD saya bermula pada September 2026, saya mengambil sedikit masa untuk mengemaskan semula bahan bacaan yang telah digunakan semasa menyediakan proposal PhD yang dihantar pada bulan Mei lalu. Pada peringkat ini, kerja membaca bukan sekadar membaca. Ia juga melibatkan kerja mengurus, menyusun, menanda, mengingat, dan menjejaki semula bahan yang telah, sedang, dan akan dibaca.

Untuk tujuan itu, saya menggunakan Notion sebagai ruang utama untuk mengurus bahan bacaan dan hal-hal pentadbiran akademik. Saya pernah mencuba Notion ketika di peringkat sarjana dahulu, tetapi pada masa itu agak sukar untuk membina sistem daripada awal. Walaupun terdapat banyak templat percuma dan berbayar, templat tersebut masih terasa tidak sepenuhnya sesuai dengan cara saya bekerja.

Kali ini, pengalaman itu berubah apabila saya menggunakan Claude AI. Saya tidak perlu membina semuanya secara manual. Saya hanya perlu meletakkan bahan secara bertabur, rawak, dan tidak begitu sistematik di dalam Claude. Kemudian, Claude membantu memproses dan menyusunnya semula ke dalam Notion mengikut struktur yang saya perlukan.

Di dalam Notion, saya membina satu bahagian khusus yang saya namakan sebagai Academia Admin. Di sinilah semua tarikh penting berkaitan universiti, pengajian, dan urusan akademik dikumpulkan. Tarikh-tarikh yang muncul dalam Gmail universiti juga boleh dimasukkan secara automatik ke halaman ini, lalu membantu saya menerima peringatan dari semasa ke semasa.

Saya juga memisahkan maklumat kepada beberapa bahagian. Hal akademik berada di bahagian Academia Admin. Tarikh penting dan temu janji peribadi berada di bahagian Personal. Hal-hal berkaitan kerja pula berada di bahagian Work. Pemisahan ini penting kerana ia membantu mengurangkan kekusutan mental apabila semua perkara bercampur dalam satu ruang yang sama.

Untuk bahan bacaan pula, saya menyusun artikel jurnal, buku, laporan, halaman web, dan rujukan lain ke dalam satu bank literatur. Apabila saya membaca PDF dan membuat annotation, bahan itu akan diproses melalui Claude dan dimasukkan ke dalam Notion dalam bentuk nota yang lebih tersusun.

Sebagai contoh, proposal PhD saya bertajuk Beyond Compliance: Muslim Educators’ Philosophical Identity as a Shaper of UDL Engagement in Irish Educational Settings. Semua bahan bacaan yang berkaitan dengan proposal ini disusun dalam Notion mengikut beberapa kategori, antaranya tajuk, nama penulis, tahun penerbitan, jenis bahan rujukan, tag, status bacaan, dan rujukan APA 7.

Status bacaan juga saya bahagikan kepada beberapa kategori. Ada bahan yang masih belum dibaca, ada yang sedang dibaca, dan ada yang telah selesai dibaca. Maklumat yang sama boleh dilihat dalam bentuk senarai, kad, atau paparan lain mengikut keperluan. Ini menjadikan proses menjejak bahan bacaan lebih mudah dan lebih visual.

Satu lagi kelebihan sistem ini ialah hubungannya dengan Zotero dan Google Drive. Zotero saya gunakan untuk pengurusan sitasi, manakala PDF asal disimpan di Google Drive. Apabila satu bahan rujukan dibuka dalam Notion, saya boleh melihat maklumat asasnya, ringkasan artikel, tiga isi utama, persoalan kajian, metodologi, dapatan utama, saranan untuk penyelidikan saya, nota kritikal, in-text citation, rujukan penuh APA 7, DOI, dan pautan kepada PDF asal.

Di dalam PDF tersebut, saya menggunakan sistem warna untuk menanda maklumat penting. Misalnya, kuning untuk definisi, jingga untuk skop, biru untuk komponen, hijau untuk mekanisme teori, merah untuk limitasi, masalah dan jurang kajian, serta ungu untuk prinsip atau aplikasi yang berkaitan dengan tesis. Annotation ini kemudiannya dibaca oleh Claude dan disusun semula dalam Notion sebagai nota penyelidikan.

Bagi saya, sistem sebegini sangat membantu fungsi eksekutif. Apabila jumlah rujukan semakin bertambah, saya tidak mahu terlalu bergantung kepada ingatan semata-mata. Saya perlu tahu apa yang telah dibaca, apa yang sedang dibaca, apa yang belum dibaca, dan apa yang penting untuk kembali dirujuk kemudian.

Saya pernah terfikir untuk menjadikan sistem ini sebagai templat yang boleh digunakan oleh orang lain. Namun, khususnya bagi individu ADHD, saya lebih cenderung mencadangkan agar sistem seperti ini dibina sendiri dengan bantuan Claude atau alat AI yang sesuai. Ini kerana setiap individu mempunyai cara membina, menyusun, dan memproses maklumat yang berbeza. Walaupun diagnosis mungkin sama, cara bekerja tidak semestinya sama.

Dalam penyelidikan sarjana saya dahulu, hal ini juga muncul sebagai dapatan penting. Individu ADHD tidak semestinya mendapat manfaat yang sama daripada tip ringkas atau templat umum. Sesuatu sistem akan lebih berkesan apabila ia dibina berdasarkan cara berfikir, keperluan, dan corak kerja individu itu sendiri.

Proposal PhD saya telah dihantar untuk dinilai oleh panel penganugerahan biasiswa. Saya memohon Trinity Research Doctorate Award melalui kategori terbuka berasaskan fakulti. Saya tidak memohon melalui kategori students with disability kerana, setelah mengenali diri sendiri dan memahami cara saya bekerja, saya merasakan mungkin ada individu lain yang lebih memerlukan laluan tersebut.

Alhamdulillah, proposal saya mendapat tempat pertama dan saya terpilih menerima penajaan penuh dalam bentuk yuran pengajian dan wang sara hidup bulanan selama empat tahun, sehingga tamat pengajian. Award ini terbuka kepada calon PhD tempatan, calon dari Kesatuan Eropah, dan juga pelajar antarabangsa.

Maklumat mengenainya saya letakkan di bahagian kapsyen untuk rujukan sesiapa yang berminat mencuba pada tahun-tahun akan datang. Mohon selitkan saya dalam doa. Perjalanan ini panjang dan mencabar, tetapi mudah-mudahan manfaatnya dapat dikembangkan kepada komuniti dan umat secara lebih luas, insya-Allah.

Get full access to ADHD DEWASA at adhddewasa.substack.com/subscribe
19 total episodes available
Deep-dive analytics for Audio Siar (Podcast) ADHD Dewasa Bersama Hasrizal
Frequently asked questions
Have a different question and can't find the answer you're looking for? Reach out to our support team by sending us an email and we'll get back to you as soon as we can.
- What is Audio Siar (Podcast) ADHD Dewasa Bersama Hasrizal?
- How often does this podcast release new episodes?
This podcast updates daily.
- Where can I listen to this podcast?
This podcast is available on 4 platforms including Apple Podcasts, Spotify, and more. You can also use the RSS feed directly.
- Does this podcast accept guests?
No, this podcast does not typically feature guests.
Legal Disclaimer
Pod Engine is not affiliated with, endorsed by, or officially connected with any of the podcasts displayed on this platform. We operate independently as a podcast discovery and analytics service.
All podcast artwork, thumbnails, and content displayed on this page are the property of their respective owners and are protected by applicable copyright laws. This includes, but is not limited to, podcast cover art, episode artwork, show descriptions, episode titles, transcripts, audio snippets, and any other content originating from the podcast creators or their licensors.
We display this content under fair use principles and/or implied license for the purpose of podcast discovery, information, and commentary. We make no claim of ownership over any podcast content, artwork, or related materials shown on this platform. All trademarks, service marks, and trade names are the property of their respective owners.
While we strive to ensure all content usage is properly authorized, if you are a rights holder and believe your content is being used inappropriately or without proper authorization, please contact us immediately at hey@podengine.ai for prompt review and appropriate action, which may include content removal or proper attribution.
By accessing and using this platform, you acknowledge and agree to respect all applicable copyright laws and intellectual property rights of content owners. Any unauthorized reproduction, distribution, or commercial use of the content displayed on this platform is strictly prohibited.